Monday, August 10, 2009

Sistem e-Tanah

Pengkomputeran pentadbiran tanah bermula pada tahun 1984 dengan pelaksanaan Sistem Pentadbiran Hasil Tanah Berkomputer atau terkenal dengan singkatannya SPHTB. Pada tahun 1996 Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer atau singkatannya SPTB, diperkenalkan. Pada tahun 2001 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah melaksanakan kajian Sistem Pemodenan Pejabat Tanah atau singkatannya SPPT. Hasil dari kajian ini, maka pada 19 Januari 2005, Jemaah Menteri bersetuju supaya Projek e-Tanah dilaksanakan secara perintis di Pentadbiran Tanah Negeri Pulau Pinang.

Mengikut maklumat yang tertera di portal e-Tanah NRE, “ e-Tanah adalah merupakan salah satu daripada program kerajaan ke arah merealisasikan Kerajaan Elektronik, Merupakan satu sistem yang komprehensif, bersepadu, mesra pengguna, selamat dan boleh dipercayai. e-Tanah dilaksanakan bertujuan meningkatkan kecekapan, ketelusan, integriti, mewujudkan bank data tanah, mengurangkan karenah birokrasi, memberi perkhidmatan berkesan kepada rakyat, peniaga-peniaga dan kerajaan. Aplikasi Sistem e-Tanah berasaskan teknologi web, bersepadu dan seragam, memenuhi keperluan semua negeri, integrasi dan adaptasi dengan sistem sedia ada, mempunyai tahap keselamatan, berkonsepkan sistem berpusat dan teragih di antara PTG dan PTD dan berasaskan kepada pengurusan proses aliran kerja . Kejayaan pelaksanaan projek ini akan menjadi ‘quantum leap’ kepada negara, khususnya dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, Perkhidmatan kaunter yang lebih mesra pelanggan melalui Single Point Of Contact (SPOC) Pelanggan boleh mendapat maklumat dan perkhidmatan secara atas talian. Bayaran cukai tanah boleh dilakukan melalui internet dan pusat bayaran setempat seperti Pejabat Pos dan TMPoint. Pelanggan mendapat khidmat lebih seragam, cepat, cekap, telus, berkualiti dan berintegriti. Projek Perintis e-Tanah di Pentadbiran Tanah Negeri Pulau Pinang mula dibangunkan pada 12 Oktober 2005 dan siap pada 12 April 2008. Kos projek adalah RM66 juta.Tapak Projek adalah PTG Pulau Pinang, PTD Barat Daya, PTD Timur Laut, PTD Seberang Perai Utara, PTD Seberang Perai Tengah, PTG Seberang Perai Selatan. Sistem e-Tanah mengandungi sembilan (9) Modul Utama yang merangkumi 85 urusan”

Modul utama itu ialah modul Pembangunan, Pelupusan, Pendaftaran, Strata, Pembangunan Tanah, Kebenaran Pindahmilik/Cagaran, Hasil, Perintah Jual/Siasatan /Notis/Makamah dan Penguatkuasaan,

Akta 1333 adalah Akta yang memperuntukkan undang-undang bagi melaksanakan e-Tanah. Akta ini dinamakan National Land Code (Amendment) Act 2008 telah diwartakan pada 7 Februari 2008. Akta ini beroperasi disetiap negeri pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar apabila diluluskan oleh Majlis Tanah Negara. Tarikh tersebut mesti diwartakan dalam Warta Persekutuan. Penwartaan tarikh operasi bagi Pentadbiran Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak memerlukan kepada kelulusan Majlis Tanah Negara.

e-Tanah yang dibangunkan mesti memenuhi peruntukan Akta 1333. e-Tanah atau dikenali sebagai Electronic Land Administration System (ELAS) didalam Akta 1333 ini, boleh dilaksanakan dimana-mana Pejabat Pendaftar Hakmilik, Pejabat Tanah dan Disaster Recovery Center (DRC) iaitu pusat back-up dan pemulihan sistem yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk meneruskan urusan operasi e-Tanah.

e-Tanah adalah pemprosesan permohonan perkara-perkara berkaitan tanah secara elektronik, termasuk pendaftaran hakmilik, dokumen-dokumen perlu yang mesti disediakan dan mana-mana kemasukan kedalam dokumen hakmilik menggunakan komputer. Prosedur yang digunakan termasuk secara manual dan menggunakan komputer.

Apabila e-Tanah beroperasi, maka Jadual Ke 16 Kanun Tanah Negara (KTN) mesti digunakan dan peruntukan didalam Jadual Ke 14 KTN tidak boleh digunakan lagi.

Dengan terlaksananya e-Tanah, maka berlaku perubahan kepada prosedur kerja dari manual kepada persekitaran penggunaan komputer. Oleh itu Akta 1333 adalah undang-undang untuk menentukan prosedur kerja pengkomputeran itu dilaksanakan.

Akta ini menyatakan dokumen hakmilik komputer hendaklah disimpan secara maya didalam pengkalan data tanah. Penyimpanan hakmilik secara dokumen bercetak dihapuskan. Dokumen lesen dan permit pula adalah dokumen cetakan komputer yang diproses dan disediakan menggunakan komputer. Digital data adalah semua maklumat berkaitan tanah yang direkodkan didalam pengkalan data menggunakan teknologi elektronik yang menjana, menyimpan dan memproses data dalam bentuk fail komputer, mengandungi hakmilik tanah, imeg, dokumen, data spatial atau textual, yang mana output nya boleh diperolehi dalam bentuk format komputer.

e-Tanah memperkenalkan tandatangan digital, yang mana pembentukan meseg menggunakan asymmetric cryptosystem . Meseg yang ditandatangan secara private key penghantar boleh disahkan oleh mana-mana orang yang mempunyai akses kepada public key penghantar tersebut. Pengesahan ini akan membuktikan bahawa penghantar itu mempunyai akses kepada private key dan semakan juga boleh boleh dibuat sama ada meseg itu telah dipinda atau tidak sejak meseg itu mula dibentuk.

Bencana atau kerosakan yang dimaksudkan dibawah Akta 1333 ialah bencana atau kerosakan natural atau disebabkan oleh manusia atau kegagalan perkakasan, yang menyebabkan tempoh gangguan perkhidmatan pemprosesan data melebihi daripada tempoh yang munasabah, yang mana memerlukan lokasi atau perkakasan alternatif untuk tujuan pemulihan.

Pengkalan data bermaksud sumber maklumat yang mengandungi semua data digital atau hakmilik daftar komputer atau maklumat tanah yang berkaitan, yang mana disimpan secara elektronik dalam format komputer.

Disaster recovery centre adalah bertindak sebagai pengkalan data tanah pada masa bencana atau kerosakan. Kerajaan Negeri boleh menetapkan suatu tempoh beroperasinya pusat pemulihan ini, ketikamana Pejabat Pendaftar atau Pejabat Tanah gagal berfungsi untuk meneruskan operasi hariannya.

Akta ini juga memperkenalkan pengkalan data kadastar digital yang berasaskan kepada sistem koordinat kadastar yang digunakan dan diselenggarakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Persekutuan.

Apabila beroperasinya e-Tanah, Pendaftar Hakmilik hendaklah menukarganti semua hakmilik berdaftar semasa kepada dokumen hakmilik komputer dan mesti mengesahkannya dengan menandatangani secara digital. Meskipun begitu, dokumen hakmilik semasa adalah berkuatkuasa dan sah untuk semua tujuan dibawah KTN sehingga dokumen hakmilik komputer disediakan dan disahkan oleh Pendaftar Hakmilik. Setelah tindakan tukarganti dokumen hakmilik semasa kepada dokumen hakmilik komputer, dokumen hakmilik keluaran yang berada dalam simpanan pemilik tanah atau pihak yang berkepentingan adalah berkuatkuasa dan sah untuk semua tujuan dibawah KTN sehingga dokumen hakmilik keluaran komputer disediakan dan dikeluarkan kepada pemilik tanah tersebut. Apabila tindakan tukarganti hakmilik telah diselesaikan, Pendaftar Hakmilik hendaklah membuat catitan nota memaklumkan hakmilik semasa telah dibatalkan dan telah ditukarganti kepada dokumen hakmilik komputer. Dokumen hakmilik semasa tersebut dimusnahkan apabila dikemukakan kepada Pendaftar Hakmilik.

Pendaftar juga hendaklah menyediakan pelan tanah bagi hakmilik berkenaan menggunakan borang yang ditetapkan dan menandatangani borang pelan tersebut secara digital.

Setiap dokumen hakmilik yang didaftarkan atas sebab tanah kerajaan diberimilik kepada rakyat atau penyediaan hakmilik sambungan atau penggantian hakmilik keluaran, hakmilik-hakmilik tersebut beserta borang pelan hakmilik tanah, hendaklah disediakan menggunakan komputer dan diserahkan kepada pemilik tanah setelah disahkan dengan menggunakan tandatangan digital Pendaftar Hakmilik.

Borang-borang hakmilik tanah juga telah bertukar. Geran menggunakan Borang 5Be, Pajakan Negeri menggunakan Borang 5Ce, Geran Mukim 5De, Pajakan Mukim 5Ee. Bagi hakmilik sementara borang yang digunakan ialah 11Ae bagi hakmilik Pejabat Pendaftar atau 11Be bagi hakmilik Pejabat Tanah.

Borang pelan juga bertukar. Borang pelan bagi hakmilik kekal dikenali sebagai Borang B1e dan borang pelan bagi hakmilik sementara dikenali sebagai Borang B2e. Pengenalan huruf “e” digunakan pada borang-borang hakmilik dan pelan menggantikan huruf “K” pada borang-borang hakmilik dibawah Jadual Ke 14 terdahulu. Huruf “e” mewakili “eletronik” sementara huruf “K” mewakili “Komputer”.

e-Tanah membolehkan penyediaan hakmilik dilihat melalui skrin komputer untuk disahkan. Apabila hakmilik ini diperlukan oleh Pendaftar Hakmilik atau atas keperluan KTN atau mana-mana undang-undang, maka salinan hakmilik tersebut hendaklah dicetak diatas borang hakmilik yang ditetapkan. Setiap dokumen hakmilik yang disimpan secara maya didalam pengkalan data tanah adalah merupakan bukti yang diperakukan terhadap maklumat yang disimpan didalam dokumen berkenaan

Pelaksanaan e-Tanah juga memerlukan perubahan dibuat keatas proses kerja permohonan serta borang Lesen Pendudukan Sementara atau TOL dan permit mengeluarkan bahan batuan. Borang TOL dikenali sebagai Borang 4Ae, borang TOL bersekali permit pengeluaran bahan batuan dikenali sebagai Borang 4Be. Permit pengeluaran bahan batuan menggunakan Borang 4Ce dan permit menggunakan ruang udara diatas tanah kerajaan atau tanah rezab menggunakan Borang 4De.

Pelan bagi TOL dan permit juga disediakan berasingan dan diserahkan kepada pemohon yang diluluskan TOL atau permit. Borang pelan dikenali sebagai Borang L1e atau L2e atau P1e atau P2e mengikut jenis permohonan berkenaan. Pelan-pelan tanah bagi TOL dan permit akan disahkan oleh pentadbir tanah dengan menandatangai pelan itu secara digital dan satu salinan pelan-pelan tersebut disimpan didalam pengkalan data e-Tanah. Pentadbir Tanah dikehendaki menyerahkan dokumen lesen atau permit cetakan komputer kepada pemegang TOL atau permit beserta salinan borang pelan lesen atau permit.

Bagi maksud memasukkan nota pembaharuan didalam dokumen lesen TOL cetakan komputer, Pentadbir Tanah akan mengesahkan dokumen yang disimpan secara maya didalam pengkalan data dan tindakan pengesahan ini akan menyebabkan pengemaskinian dokumen lesen TOL cetakan komputer yang dikemukakan kepada Pentadbir Tanah.

Setiap dokumen lesen atau permit yang disediakan dan disahkan dengan tandatangan digital menggunakan e-Tanah, adalah merupakan bukti yang diperakui bahawa lesen atau permit telah dikeluarkan. Lesen untuk permohonan TOL dan permit pengeluaran dan pemindahan bahan batuan merupakan dokumen bercetak yang disediakan menggunakan komputer. Pada masa ini, kedua-dua dokumen itu adalah dalam bentuk “pre-printed form”.

Apabila berkuatkuasanya e-Tanah, carian secara elektronik dibolehkan untuk kemudahan pengguna membuat carian persendirian hakmilik. Carian ini boleh dicapai melalui e-Tanah yang diselenggarakan oleh Pendaftar Hakmilik. Carian Persendirian dikenakan bayaran yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Carian persendirian hakmilik ini membenarkan pengguna e-Tanah menyemak, membuat catitan dari maklumat carian dan memperolehi cabutan mana-mana daftar hakmilik, buku perserahan, buku pembetulan, suratcara urusan atau permohonan yang dikemukakan atau dalam simpanan Pendaftar Hakmilik.

Walaubagaimana pun carian persendirian ini tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. Carian persendirian ini juga boleh dilakukan di mana-mana tempat selain daripada Pejabat Pendaftar Hakmilik atau Pejabat Tanah. Jadual Ke 16 KTN juga menetapkan bahawa capaian boleh dibuat ke-mana-mana Pejabat Pendaftar dan Pejabat Tanah untuk tujuan carian persendirian pada bila-bila masa pada waktu pejabat.

e-Tanah juga membenarkan Kerajaan negeri menetapkan peraturan, syarat dan had skop untuk carian persendirian secara elektronik. Pengarah Tanah dan Galian Negeri pula boleh menetapkan masa operasi yang berlainan bagi jenis-jenis carian persendirian yang berlainan

Oleh itu dengan berkuatkuasanya Electronic Land Administration System ini peruntukan-peruntukan Jadual Ke 16 KTN mesti digunakan. Peruntukan lain KTN hendaklah dibaca dengan pengubahsuaian, pindaan, tambahan, pembatalan, penggantian atau penyesuaian kepada peruntukan-peruntukan Jadual Ke 16 KTN. Peruntukan Jadual Ke 14 KTN yang digunakan semasa pelaksanaan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer terdahulu adalah terbatal.

3 comments:

  1. Assalam tuan...

    satu penerangan yg detail dan menarik..
    terima kasih

    ReplyDelete
  2. Kepada Saya suka GIS dan masmaribell mastura,
    Terimakasig atas entry anda, insyaallah saya akan update blog ini sehingga tertulis sepenuhnya artikel mengenai eletronic land administration system. Insyaallah. Tk

    ReplyDelete