Wednesday, August 12, 2009

Modul Pelupusan e-Tanah (Bhg 3)

Keterangan Kerja Modul Pelupusan e-Tanah

Dibawah sistem e-Tanah, semua permohonan mesti bermula dari “Single Point Of Contact” (SPOC) atau Kaunter Terimaan Setempat Pejabat Tanah. Empat tugas utama Pembantu Tadbir dikaunter ialah menerima semua jenis serahan dan permohonan, menyemak sahterima serahan dan permohonan, mengena dan menerima bayaran (kepada yang berkenaan), mencetak resit bayaran dan Surat Akuan Terima dan memberi ID kepada serahan atau permohonan yang dikemukakan.

Modul Pelupusan juga bermula di SPOC dan proses seterusnya adalah:

· Kemasukan Maklumat Permohonan

· Kemasukan Laporan Pelukis Pelan

· Pilih Jabatan Teknikal

· Kemasukan Laporan Tanah

· Ulasan Jabatan Teknikal

· Semakan Laporan Tanah

· Terima Ulasan Jabatan Teknikal

· Penyediaan Draf Kertas Kerja

· Semak dan Syor Draf Kertas Kerja

· Perakuan Draf Kertas Kerja

· Semakan Kertas Kerja JKTN

· Semak dan Syor Kertas Kerja JKTN

· Perakuan Kertas Kerja JKTN

· Kemasukan Bilangan JKTN

· Rekod Keputusan JKTN

· Kemaskini Kertas MMK

· Semakan Kemaskini MMK

· Perakuan MMK

· Kemasukan Bilangan MMK

· Rekod Keputusan MMK

· Makluman Keputusan MMK

· Tapisan Keputusan MMK

· Makluman Kemaskini Keputusan MMK

· Makluman Keputusan MMK

· Makluman dan Penyediaan Surat Keputusan

· Pengesahan Borang 5A

· Penyediaan Borang 5A

Modul Pelupusan e-Tanah direkabentuk mengikut proses kerja permohonan pelupusan secara manual sebagaimana yang disusun mengikut proses kerja seperti diatas, tetapi Modul Pelupusan e-Tanah ini lebih sistematik dalam persekitaran penggunaan komputer sepenuhnya serta semua capaian maklumat dan tugasan adalah dari pangkalan data bersepadu. Sebagai contoh, dapat dimaklumkan sebagaimana tugasan Kemasukan Maklumat Permohonan, iaitu:

Kerani Kemasukan menjalankan tugas kemasukan maklumat dan mengimbas dokumen-dokumen yang disenaraikan didalam Senarai Semakan permohonan. Tugas Pembantu Tabdir Kemasukan meliputi perkara berikut:

o Pembantu Tadbir hendaklah memilih satu unit yang berkaitan untuk menguruskan permohonan.

o Sistem akan memaparkan Senarai Permohonan yang di “Cari” oleh Pembantu Tadbir Kemasukan di bingkai “Senarai Permohonan”, iaitu mengandungi maklumat Unit/Kategori, ID Berkaitan,Tindakan, Tarikh Terima, Keutamaan, Sasaran dan Bilangan Hari.

o Bagi sub-modul Pemberimilikan, pautan dalam medan “Tindakan” tertera perkataan “Kemasukan Permohonan Pemberimilikan Tanah”.

o Pembantu Tadbir Kemasukan memasukkan dan mengesahkan maklumat berkaitan permohonan iaitu:

§ Maklumat Permohonan

§ Maklumat Tanah Dimohon

§ Kategori Pemohon

§ Maklumat Pemohon Perbadanan (contoh)

§ Maklumat Tanah Yang Dimiliki

§ Tajuk Permohonan

o Dengan merujuk kepada dokumen-dokumen yang diserahkan oleh pemohon semasa mengemukakan permohonan di SPOC dan telah diserahkan keperingkat kemasukan, Pembantu Tadbir Kemasukan memasukkan data kedalam medan yang disediakan (selain daripada medan-medan yang telah terjana maklumat oleh sistem).

o Berkaitan dengan kerja-kerja imbasan, didalam skrin Senarai Semakan, terdapat jadual yang menyenaraikan senarai dokumen. Pembantu Tadbir Kemasukan dikehendaki klik pada butang imbas untuk mengimbas dokumen.

Proses Kerja tugasan yang lain adalah sebagaimana yang dijelaskan dibawah tajuk Manual Kerja Modul Pelupusan e-Tanah.

Manual Kerja Modul Pelupusan e-Tanah

Untuk memasukki sistem e-Tanah, pengguna dikehendaki login ID pengguna dan memasukkan kata laluan. Apabila ID dan kata laluan dimasukkan, pengguna hendaklah klik butang login yang dipaparkan dan sistem membenarkan pengguna menggunakan sistem.

Pada paparan berikutnya, pengguna hendaklah klik pada pautan “ALIRAN KERJA” dan kemudian klik pada pautan “SENARAI TUGAS” untuk mendapatkan skrin senarai tugasan pengguna berkenaan.

Pada skrin SENARAI TUGASAN, terdapat dua fungsi utama iaitu “CARIAN” dan “SENARAI PERMOHONAN”. Kemudahan “CARIAN” ialah untuk membolehkan pengguna mencari fail yang perlu diuruskan oleh pengguna iaitu fail-fail yang belum selesai diambil tindakan. Dibawah “SENARAI TUGASAN” terdapat paparan Unit, Kategori Permohonan, ID Permohonan, ID Perserahan, Nama Pemohon, Tarikh Dari, Tarikh Hingga. Diskrin ini, pada bahagian “Senarai Tugasan” terdapat butang “cari” dan butang “isi Semula” ".

Paparan “Unit” adalah mengandungi senarai unit urusan yang terdapat di Pejabat Tanah. Pembantu Tadbir hendaklah memilih satu unit yang berkaitan untuk menguruskan permohonan. Jika Pembantu Tadbir menguruskan fail berkaitan pemberimilikan, maka pilih unit Pembangunan dan Pelupusan.Sistem menyediakan Senarai Pilihan atau ”drop down” Unit disediakan.Senarai unit tersebut adalah seperti berikut:

· Pentadbiran

· Teknikal-H/Lalulalang

· Teknikal-Rezab

· Teknikal-TNB

· Teknikal-Lombong

· Gunasama

· Pesaka

· Pendaftaran

· Hasil

· Teknikal-Ps Seting

· Teknikal-Tanda Sempadan

· Pelupusan

· Strata

· Kemajuan

· Consent

· Lombong

· Penguatkuasaan

· Audit Pengurusan

· Hakmilik Strata

· Pembangunan Dan Pelupusan

· Pendaftaran Hakmilik

· Penguatkuasaan Dan Teknikal

· Teknikal - Setinggan

· Perundangan

· Teknologi Maklumat

· Teknikal

· TOL

· Perintah Jual Oleh PTD

· Enkuiri

· Penghantaran Notis

· Mahkamah

· Teknikal - Permit

· Pembangunan

· Pentadbiran/Kewangan

· Lelong

· Pengambilan

· Tiada

Modul Pelupusan e-Tanah (Bhg 2)

Proses Kerja Manual Permohonan Pelupusan Tanah

Kelayakan Pemohon Bagi Pemberimilikan Tanah Kerajaan

Seksyen 43 KTN menyenaraikan orang atau badan yang boleh memohon pemberimilikan tanah Kerajaan. Mereka ialah:

(a) orang sebenar yang telah mencapai umur dewasa (menurut Akta Umur Dewasa, 1971) – seksyen 43(a) KTN;

(b) perbadanan yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaannya untuk memiliki tanah (seksyen 43(b) KTN) – mereka terdiri daripada:

(i) perbadanan yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat, 1965 yang diberi kuasa memiliki tanah di bawah memorandum persatuannya;

(ii) pertubuhan perbadanan yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan atau Negeri dan yang diberi kuasa untuk memiliki tanah di bawah Akta atau Enakmen yang mewujudkannya – misalnya Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di bawah Akta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan 1957, Perbadanan Pembangunan Bandar di bawah Akta Perbadanan Pembangunan Bandar 1971 (sekarang telah dibubarkan), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964 dan Setiausaha Kerajaan, Perak di bawah Enakmen Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pemerbadanan) 1951; dan

(iii) syarikat kerjasama yang ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993;

(c) raja pemerintah, kerajaan, pertubuhan dan orang-orang lain yang dibenarkan memiliki tanah di bawah undang-undang yang pada masa ini berkuat kuasa berhubung dengan hubungan diplomatik, hubungan consular dan pertubuhan antarabangsa1 (seksyen 43(c) KTN); dan

(d) pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan kesatuan sekerja yang didaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 (seksyen 43(d) KTN).

Dalam hal perbadanan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat, 1965, PT hendaklah memastikan daripada memorandum persatuannya sama ada ia boleh memiliki tanah atau tidak. Berhubung dengan mana-mana pertubuhan perbadanan yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan atau Negeri, ia hendaklah menyemak sama ada undang-undang yang menubuhkan badan tersebut membenarkan ia memiliki tanah atau tidak.

Dalam pelbagai undang-undang perizapan Melayu, permohonan tanah daripada orang bukan Melayu tidak boleh dilayan jika ia memohon tanah dalam kawasan rizab Melayu. Sungguhpun demikian, ada pengecualian ke atas sekatan ini. Dalam Enakmen Perizapan Melayu (NMB Bab 142) misalnya, badan-badan yang dikecualikan daripada sekatan ini ialah mereka yang tersenarai dalam Jadual Ketiga Enakmen tersebut. Antara badan yang tersenarai ialah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan syarikat kerjasama (tertakluk kepada syarat tambahan negeri masing-masing).

Di negeri Kelantan, tanah Kerajaan tidak boleh diberimilik kepada orang yang bukan anak Kelantan seperti yang ditakrifkan dalam Enakmen Tanah Kelantan, 1938 tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri. Peruntukan ini dipelihara melalui Jadual Kedua Belas KTN.

Bahagian Tiga Puluh Tiga (A) KTN juga menghalang tanah Kerajaan diberimilik kepada individu warganegara asing (bukan warganegara) dan syarikat asing tanpa memperolehi terlebih dahulu kelulusan Pihak Berkuasa Negeri kecuali pemberimilikan untuk tujuan perusahaan. Walau bagaimanapun dengan berkuatkuasanya Akta KTN (Pindaan) 2001 (Akta A1104), kaedah-kaedah boleh dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk mengecualikan mereka daripada Bahagian Tiga Puluh Tiga (A) selaras dengan arahan yang diberi oleh Majlis Tanah Negara.

Laporan Juruteris

Selain daripada tugas mencatatkan kawasan yang dipohon dan rujukan fail diatas litho-sheet, Juruteris juga perlu member lap[oran mengenai tanah tersebut, sama ada tanah itu berjenis tanah desa, pekan, atau bandar, atau bahagian pantai pasang surut, dasar laut atau tanah bawah tanah;

1. sama ada tanah itu merupakan tanah Kerajaan, tanah milik, tanah yang dirizabkan untuk maksud awam, tanah lombong atau rizab hutan;

2. sama ada tanah itu terletak di dalam atau di luar perizapan Melayu;

3. sama ada lesen pendudukan sementara ada dikeluarkan dan masih berkuatkuasa;

4. sama ada terdapat permohonan terdahulu atau tidak; dan

5. perkara lain mengenai tanah yang dipohon.

Perkara-perkara yang disebut pada perenggan (1) hingga (5) di atas adalah perlu kerana:

(a) perlu diketahui perkara yang dinyatakan dalam perenggan (1) memandangkan penjenisan ini menentukan jenis hakmilik yang akan diterima oleh pemohon sama ada hakmilik Pejabat Pendaftar atau hakmilik Pejabat Tanah;

(b) perkara yang dinyatakan dalam perenggan (1) juga penting disebabkan tanah yang dipohon boleh terdiri daripada lebih satu jenis – misalnya sebahagian tanah desa dan sebahagian lain tanah bandar, maka jelas bahawa dua hakmilik berasingan hendaklah didaftarkan dan dengan itu dua permohonan tanah kena dibuat;

(c) perkara yang dinyatakan dalam perenggan (2i) penting disebabkan hanya tanah Kerajaan boleh diberimilik;

(d) perkara yang dinyatakan dalam perenggan (3) perlu ditentukan disebabkan tanah dalam rizab sedemikian hanya boleh diberimilik kepada orang atau badan tertentu sahaja;

(e) perkara yang dinyatakan dalam perenggan (4) di atas penting disebabkan tanah Kerajaan yang diduduki di bawah lessen pendudukan sementara tidak boleh kemudiannya dilupuskan selagi lessen tidak tamat tempohnya; dan

Laporan tanah oleh Pegawai Petempatan

Pegawai Petempatan hendaklah membuat lawatan tapak untuk mengenalpasti dan memperenggankan tanah yang dipohon. Ia hendaklah menyatakan perihal tanah iaitu apa yang ada di atas tanah itu dan persekitarannya. Dalam laporannya ia juga perlu menyatakan sama ada tanah itu berkemungkinan diperlukan untuk apa-apa maksud awam atau tidak pada masa hadapan. Selain itu ia hendaklah menyemak sejarah tanah itu dari Fahrasat Lot, sama ada tanah yang dipohon adalah tanah yang telah diukur.

Merujukkan permohonan kepada Jabatan-Jabatan berkenaan

Sebelum sesuatu permohonan boleh dipertimbangkan, pandangan daripada Jabatan-Jabatan tertentu hendaklah diperolehi. Rujukan kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa atau Pihak Berkuasa Tempatan (jika tanah terletak dalam kawasan pihak berkuasa tempatan) adalah mustahak supaya kegunaan tanah yang akan diberimilik selaras dengan pelan guna tanah. Dalam hal permohonan tanah untuk pertanian, nasihat Jabatan Pertanian hendaklah diminta untuk mengetahui sama ada tanah yang dipohon bersesuaian untuk kegunaan yang dicadangkan. Pandangan daripada Jabatan Kerja Raya adalah mustahak terutama jika tanah yang dipohon berhadapan dengan jalan. Rujukan juga perlu dibuat kepada Jabatan Pengairan dan Saliran jika tanah yang dipohon terletak berhampiran sungai atau apa bentuk saliran lain. Untuk mempercepatkan penerimaan laporan daripada pelbagai Jabatan, aturan boleh dibuat untuk mengadakan lawatan bersama. Walau bagaimanapun ia hanyalah amalan pentadbiran.

Pihak berkuasa meluluskan

Kuasa untuk melulus atau menolak permohonan terletak kepada Pihak Berkuasa Negeri. Sungguhpun demikian, di beberapa buah negeri, kuasa ini diwakilkan, menurut seksyen 13 KTN, kepada PTG atau PT. PT dan kerani yang bertanggungjawab ke atas pemprosesan permohonan pemberimilikan hendaklah tahu tentang perwakilan kuasa sedemikian, jika ada. Perlu diingati bahawa perwakilan kuasa itu hendaklah diberitahu dalam Warta Negeri.

Kandungan kertas untuk pertimbangan pihak berkuasa meluluskan

Untuk sesuatu permohonan dipertimbangkan oleh pihak berkuasa meluluskan, satu kertas hendaklah disediakan dan mengandungi, antara lain, perkara-perkara yang berikut;

(a) maklumat tentang pemohon;

(b) kelayakan pemohon berhubung dengan seksyen 43 dan Bahagian Tiga Puluh Tiga (A) KTN dan sekatan di bawah pelbagai undang-undang seperti Enakmen Perizapan Melayu dan Enakmen Tanah Kelantan, 1938;

(c) cadangan kegunaan tanah oleh pemohon;

(d) tempat (hendaklah dinyatakan dalam pelan) dan keterangan tanah;

(e) pandangan Jabatan-jabatan yang berkenaan;

(f) luas kawasan (ditandakan dalam pelan) yang diperakukan untuk diluluskan (ini berkaitan dengan seksyen 79(1) KTN);

(g) tempoh bagi pemberimilikan selain daripada tempoh pemberimilikan untuk selama-lamanya;

(h) bentuk hakmilik tetap (ini berkaitan dengan seksyen 79(2)(c) KTN) – ini hendaklah bertepatan dengan seksyen 77(3) KTN;

(i) kadar cukai tahunan yang diperakukan berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan dalam Kaedah-Kaedah Tanah Negeri (ini berkaitan dengan seksyen 79(2)(d) KTN);

(j) kadar bayaran premium yang diperakukan, jika hendak dikenakan berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan dalam Kaedah-Kaedah Tanah Negeri (ini berkaitan dengan seksyen 79(2)(e) KTN);

(k) kategori kegunaan tanah yang diperakukan, jika hendak dikenakan (lihat seksyen 52 KTN);

(l) syarat nyata yang diperakukan, jika hendak dikenakan (lihat seksyen 120, 121 dan 122 KTN);

(m) sekatan kepentingan yang diperakukan, jika hendak dikenakan (lihat seksyen 120 KTN); dan

(n) jika perlu, had kedalaman kegunaan tanah bawah tanah bagi pemberimilikan itu hendaklah ditetapkan (seksyen 92B KTN).

Perlu diingati bahawa perkara-perkara yang dinyatakan pada perenggan (f) hingga (m) di atas hendaklah diputuskan oleh pihak berkuasa meluluskan, menurut seksyen 79(2) KTN, semasa ia meluluskan pemberimilikan. Mengikut seksyen 79(1) KTN, apabila kelulusan diberikan ke atas tanah yang belum diukur, ia hendaklah diberi dengan rujukan kepada pelan dan keterangan yang mencukupi untuk membolehkan tanah dan sempadan-sempadannya dikenalpasti dan ditentukan secara sementara, sementara menunggu kerja-kerja ukur dilakukan.

Tempoh pemberimilikan

Seksyen 76(a) KTN menetapkan bahawa tempoh pemberimilikan tanah Kerajaan hendaklah bagi tempoh tidak melebihi sembilan puluh sembilan tahun. Walaupun demikian Pihak Berkuasa Negeri diberi kuasa untuk memberimilik tanah untuk tempoh selama-lamanya dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan dalam perenggan (aa) seksyen 76.

Syarat nyata yang hendak diperakukan

Syarat nyata yang hendak dikenakan ke atas tanah yang hendak diberimilik hendaklah menurut undang-undang. Seksyen-seksyen 121 dan 122 menyenaraikan beberapa syarat nyata yang boleh dikenakan oleh pihak berkuasa apabila meluluskan pemberimilikan.

Sekatan kepentingan yang hendak diperakukan

Takrif “sekatan kepentingan” diberi dalam seksyen 5 KTN. Menurut takrifan ini, sekatan kepentingan boleh dikenakan untuk menghadkan kuasa-kuasa tuan punya tanah dalam membuat urusan, memecah sempadan atau memecah bahagi tanah, atau menyatukan tanahnya dengan tanah lain atau memecah bahagi bangunan. Pentadbir Tanah hendaklah mencadangkan sekatan kepentingan yang hanya boleh dikuatkuasakan sahaja. Misalnya berhubung dengan urusan, sekatan hendaklah tidak terlalu umum sehingga meliputi sekatan terhadap pewujudan lien dan pemberian sewaan. Ini kerana lien dan pemberian sewaan tidak perlu didaftarkan.

Pengiraan cukai dan premium yang kena dibayar

Cukai hendaklah dikira menurut peruntukan seksyen 96 KTN dan peruntukan yang berkaitan dalam Kaedah-Kaedah Tanah Negeri. Premium hendaklah dikira seperti yang ditetapkan dalam Kaedah-Kaedah Tanah Negeri.

Bagi maksud pengiraan cukai jika kadar cukai yang dikenakan berasaskan kadar setiap hektar;

(a) jika tanah tersebut ialah tanah desa dan keluasan diluluskan ialah 3.42 hektar, maka mengikut seksyen 96(1)(a)(ii), luas bagi maksud pengiraan ialah 3.5 hektar;

dan

(b) jika tanah itu ialah tanah pekan atau tanah bandar dan luas yang diluluskan ialah 3.426 hektar, mengikut seksyen 96(1)(a)(i) luas bagi maksud pengiraan ialah 3.43 hektar atau jika luas ialah 3.422 hektar, maka mengikut seksyen yang sama, luas bagi maksud pengiraan juga ialah 3.43 hektar.

Berhubung jumlah wang yang kena dibayar, tidak kira sama ada tanah itu merupakan tanah bandar, pekan ataupun desa, sekiranya jumlah yang didapati ialah RM10.26, maka mengikut seksyen 96(2), jumlah yang perlu dikenakan ialah RM11.00. Sekiranya jumlah yang didapati ialah 83 sen, maka hendaklah dikenakan RM1.00.

Kutipan cukai tahun pertama

Mengikut seksyen 81(1) KTN, satu daripada jumlah yang kena dibayar kepada Pihak Berkuasa Negeri pada masa ia meluluskan pemberimilikan mana-mana tanah ialah cukai tahun pertama. Tujuan peruntukan ini ialah untuk mengelakkan cukai yang ditetapkan ke atas hakmilik yang didaftarkan pada atau selepas bulan Oktober daripada menjadi tertunggak. Misalnya, sekiranya hakmilik didaftarkan pada 1hb. Mei 1995, maka bayaran cukai bagi tahun 1995 tidak perlu dibayar kerana telah dibayar sebagai cukai tahun pertama. Sekiranya hakmilik didaftarkan pada 2hb. Oktober 1995, tiada cukai yang kena dibayar bagi tahun 1995 (menurut seksyen 94(1) KTN) dan ia hanya akan kena dijelaskan mulai tahun 1997, memandangkan bayaran cukai tahun pertama dikira sebagai jumlah cukai yang kena dibayar bagi tahun 1996.

Penempatan tuan punya tanah apabila hakmilik sementara didaftarkan

Selepas hakmilik sementara didaftarkan atas nama pemohon yang diluluskan, sempadan sementara tanah seperti yang dinyatakan dalam pelan Hakmilik Sementara hendaklah ditunjukkan kepadanya. Sungguhpun ini tidak diperuntukkan dalam KTN atau Kaedah-Kaedah Tanah Negeri, ini perlu untuk menentukan bahawa tuan punya tidak menduduki kawasan lain atau kawasan yang melampaui apa yang diluluskan kepadanya.

Pengukuran tanah

Sebidang tanah tidak boleh dikenalpasti dengan tepat sehingga ia diukur. Cara pengukuran yang dilakukan ialah seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 396 KTN. Pada asasnya tanah dikatakan telah diukur apabila telah ada pelan akui yang disahkan oleh Pengarah Ukur Negeri (PUN) dan adanya nombor lot. Misalnya apabila sebidang tanah ditunjukkan dalam pelan sebagai Lot bernombor 1234, maka tentunya tanah itu telah diukur dan telah ada pelan akuinya. Hakmilik tetap hanya boleh didaftarkan untuk mana-mana tanah setelah ia diukur menurut peruntukan dalam seksyen 396 KTN.

Pengenalan tanah sebelum pengukuran

Hakmilik Sementara dinomborkan secara berturutan untuk tujuan pengenalpastian. Ini dilakukan dengan menggunakan nombor Pejabat Tanah (no. PT). Nombor ini diberi hanya setelah Pegawai Petempatan membuat perengganan sempadan-sempadan sementara di atas tanah. Semasa membuatnya, ia akan merekod butiran perengganan iaitu “bering and distance” dalam buku kerja luar. Semua nombor PT yang diberikan direkod dalam Fahrasat PT.

Penempatan

Penempatan di sini bermaksud menunjukkan sempadan-sempadan tanah dan tanda-tanda sempadannya kepada tuan punya setelah selesai diukur. Apabila kerja pengukuran dijalankan oleh Jabatan Ukur, penempatan dibuat oleh Pejabat Tanah (iaitu oleh Pegawai Petempatan di bawah arahan PT). Semasa penempatan, perlu ditarik perhatian tuan punya kepada syarat tersirat mengikut seksyen 114 KTN berhubung dengan pemeliharaan tanda-tanda sempadan.

Perlu diberi perhatian bahawa apabila kerja pengukuran dijalankan oleh juruukur tanah berlesen, tugas untuk menunjukkan sempadan-sempadan tanah setelah selesai kerja pengukuran dilaksanakan oleh juruukur tanah berlesen berkenaan.

Didapati perlu juga untuk ditunjukkan kepada tuan punya tanah sempadan-sempadan sementara tanah apabila HS telah didaftarkan. Jika ini tidak dilakukan, berkemungkinan tanah lain yang diduduki (sama ada menduduki tanah lebih luas sehingga melangkaui tanah lain ataupun sememangnya tanah lain).

Tindakan oleh Pengarah Ukur Negeri apabila luas kawasan yang diukur mempunyai perbezaan ketara berbanding keluasan yang diluluskan untuk pemberimilikan

Dalam menjalankan kerja pengukuran ke atas tanah yang diberimilik, ada kalanya luas kawasan yang diukur mempunyai perbezaan ketara dengan keluasan yang diluluskan. Dalam hal sedemikian, mengikut seksyen 83(3) KTN, Pengarah Ukur Negeri hendaklah merujuk kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mendapatkan keputusannya sebelum diteruskan untuk penyediaan dan kelulusan pelan akui. Sungguhpun demikian seksyen ini tidak pula memberi takrif “perbezaan ketara”. Pada masa ini PUN biasanya menggunakan kriteria di bawah untuk menganggap perbezaan ketara:

(a) apabila kawasan yang diluluskan ialah kurang daripada 40 hektar, perbezaan melebihi 5%;

(b) apabila kawasan yang diluluskan ialah antara 40 hektar dan 200 hektar, perbezaan melebihi 2 hektar;

(c) apabila kawasan yang diluluskan melebihi 200 hektar, perbezaan sebanyak 1%.

Berhubung kriteria untuk menentukan sama ada keluasan terdapat perbezaan ketara atau tidak dalam kawasan tanah tersebut seperti dinyatakan di atas, tindakan boleh diambil untuk mengadakan set kriteria yang lain untuk digunakan oleh PUN sekiranya Pihak Berkuasa Negeri memikirkan bahawa kriteria semasa tidak lagi sesuai.

Apabila mendapati bahawa terdapat perbezaan ketara berhubung keluasannya sama ada dengan menggunakan kriteria di atas ataupun apa-apa kriteria lain yang diputuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk keputusannya. Rujukan hendaklah dibuat melalui PT. Keputusan Pihak Berkuasa Negeri dalam perkara ini ialah seperti yang berikut:

(a) Pihak Berkuasa Negeri bersetuju dengan keluasan yang diukur; atau

(b) Pihak Berkuasa Negeri mengarahkan supaya tanah tersebut diukur semula mengikut keluasan yang diluluskan,

Kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat keputusan seperti dinyatakan pada perenggan 16.3(a) atau 16.3(b) boleh diwakilkan kuasa kepada PTG atau PT menurut seksyen 13 KTN.

Pengukuran bagi pendaftaran hakmilik yang dilakukan oleh juruukur tanah berlesen hendaklah diakui oleh Pengarah Ukur

Pengukuran tanah bagi maksud pendaftaran hakmilik tetap boleh dilakukan oleh Jabatan Ukur, iaitu oleh Pegawai Ukur yang dilantik di bawah KTN, atau juruukur tanah berlesen yang berdaftar di bawah Akta Juruukur Tanah Berlesen, 1958. Sungguhpun kerja-kerja pengukuran boleh dijalankan oleh juruukur tanah berlesen, pelan untuk hakmilik hendaklah diakui oleh PUN.

Apabila keluasan tanah tersebut didapati ketara perbezaannya dengan yang diluluskan, juruukur tanah berlesen hendaklah mengambil tindakan yang sama seperti yang diterangkan di atas melalui PUN.

Bayaran ukur

Apabila kerja ukur bagi maksud mendaftar hakmilik tetap dijalankan oleh Jabatan Ukur, bayaran ukur dikenakan mengikut kadar yang ditetapkan dalam Perintah KTN (Bayaran-Bayaran Ukur), 1965. Kadar yang kena dibayar kepada juruukur tanah berlesen adalah seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Juruukur Tanah Berlesen, 1959.

Berhubung dengan pengukuran yang dijalankan oleh Jabatan Ukur, PT hendaklah juga mengambil perhatian tentang remitan bayaran ukur yang boleh diberi oleh PTG menurut perenggan 4 Perintah KTN (Bayaran-Bayaran Ukur), 1965.

Kesan kepada penamatan tempoh berimilik

Tanah yang dipegang bagi suatu tempoh beberapa tahun tertentu di bawah hakmilik Pejabat Pendaftar (Pajakan Negeri atau bentuk hakmilik lain di bawah undang-undang tanah dahulu seperti “Certificate of Title” sambungan kepada Pajakan) atau di bawah hakmilik Pejabat Tanah (Pajakan Mukim atau hakmilik berbentuk lain di bawah undang-undang tanah dahulu seperti EMR) akan menjadi tanah Kerajaan apabila tamat tempoh pemberimilikannya. Permohonan untuk pemberimilikan hendaklah dibuat oleh tuan punya sebelum tamat tempoh pemberimilikan sekiranya hendak terus menjadi tuan punya tanah tersebut. Permohonan tersebut boleh dipertimbangkan atau ditolak oleh pihak berkuasa meluluskan bergantung kepada keadaan. Sekiranya diluluskan, Pihak Berkuasa Negeri akan memutuskan perkara-perkara di bawah seksyen 79(2) yang mungkin termasuk mengenakan bayaran premium yang baru.

Pemberimilikan tanah kerajaan secara lelongan

Seksyen 80(2) KTN memperuntukkan jualan tanah Kerajaan secara lelongan seperti diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Tanah yang hendak dilelong hendaklah terlebih dahulu diukur oleh Jabatan Ukur.

Keperluan mengenakan bayaran deposit ke atas permohonan pemberimilikan tanah Kerajaan

Seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 82 KTN, berhubung permohonan pemberimilikan tanah Kerajaan, Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat arahan supaya permohonan itu tidak dilayan selagi jumlah yang bersamaan dengan anggaran bayaran hasil tanah yang kena dibayar berikutan kelulusan pemberimilikan tidak didepositkan dengan PT. Keperluan ini baik bagi memastikan bahawa pemohon berkeupayaan membayar apabila permohonan diluluskan kelak.